Selamat kembali ke sekolah buat adik-adik pelajar sekalian. Saya ingin kongsikan 12 tips 'S' bagi pelajar yang akan kembali ke sekolah. Ibu bapa juga boleh ambil tips ini untuk anak-anak mereka ke sekolah.
1) Saat untuk tidur awal
Esok nak bersekolah, perlu rehat dan tidur dengan secukupnya. Elak dari tidur lewat atas sebab bermain ‘PUBG’, layan ‘Movie’, berInstagram, berfacebook, berTikTok chatting dan lain-lain. Pastikan bersemangat dan bermotivasi pada hari pertama persekolahan persekolahan. Kita sudah masuk tahun baru, maka perlu ada azam baru untuk terus menjadi pelajar yang mempunyai baik dan berpendidikan.
2) Sedia alatan-alatan sekolah
Sebelum tidur, siapkan segala peralatan dan kelengkapan bersekolah supaya tidak serabut, kalut dan ribut di pagi hari. Biarlah ada ketenangan dan kegembiraan pada keesokan harinya. Ingat persediaan awal alatan ini penting supaya emosi kita sentiasa positif dan memberi ketenangan semasa menuju ke sekolah nanti.
3) Syukur sebab boleh ke sekolah
Bagun dari tidur terus berdoa tanda bersyukur dan berterima kasih. Fikirkan bahawa ada lagi orang yang tidak dapat ke sekolah dan tidak berpeluang menuntut ilmu. Biarlah menjadi orang yang sayang pada ilmu dan cintakan pada pembelajaran berguru.
4) Solat Subuh 2 Rakaat
Solat subuh bagi yang muslim, supaya hati sentiasa dekat dengan pencipta. Nak menjadi orang berjaya perlu yakin dan percaya pada Tuhan yang Esa. Nak yakin dan percaya pada Tuhan yang Esa, perlulah solat sebagai tanda hamba yang berjaya. Bagi yang bukan muslim, boleh mengamalkan ibadah kerohanian mengikut agama yang dianuti.
5) Seronok dalam minda dan emosi
Sentiasa rasakan keseronokan dalam minda dan emosi. Elak diri dari 'mood' sedih, berduka, marah dan ada nilai-nilai yang lain membuatkan minda dan emosi terganggu ketika mana hendak ke sekolah di pagi hari. Minda dan emosi perlu selari dengan nilai murni supaya menjadi lebih bermotivasi.
6) Segak dan kemas berpakaian
Pakailah dengan segak, tampan dan kemas. Biarlah aura personaliti hadir ketika mana meneruskan perjalanan ke sekolah. Aura ini boleh membuatkan diri bertambah yakin dan beretika di sekolah.
7) Sarapan untuk tenaga
Jangan lupa bersarapan pagi, kerana ia penting bagi memastikan ada daya tahan diri serta membantu kesihatan semasa berada di sekolah nanti. Sarapan juga untuk memberi tenaga sepanjang keberadaan di sekolah.
8) Salam dengan ibu ayah
Salam dan minta restu ibu dan ayah supaya perjalanan ke sekolah serta pembelajaran di sekolah diberkati. Moga sentiasa mendapat rahmat dari restunya. Doa ibu ayah sangat penting dalam kejayaan dunia dan akhirat.
9) Sebut perkataan postif
Apabila di sekolah, sentiasa menyebut perkataan positif bersama rakan-rakan atau orang-orang disekeliling. Elak dari mencaci, mengumpat, membawang, menghina dan lain-lain kerana ia boleh memberi kesan buruk pada diri dan jiwa. Oleh itu boleh mulakan sesi perkongsian dan kemesraan cara positif apabila bersama rakan-rakan dan orang sekeliling di sekolah.
10) Senyum
Tidak perlu kedekut untuk memberi senyuman kepada orang lain. Senyumlah kerana ia membawa rezeki semasa di sekolah. Senyum adalah tanda kasih sayang dalam berinteraksi sesama manusia. Senyum boleh membawa diri menjadi lebih postitif dan harmoni.
11) Simpan perasaan dan perlakuan negatif
Sekiranya ada perasaan dan perlakuan negatif wujud dalam diri. Cuba simpan dahulu kerana ini adalah hari pertama persekolahan pada tahun baru. Simpan tidak bermaksud pendam tetapi simpan dengan membuangnya jauh-jauh. Hadirkan sifat yang baik dalam diri.
12) Sila amalkan Norma Baharu
Amalan norma baharu ini penting kerana kita kini masih berada dalam persekitaran yang masih wujud covid-19. Oleh itu amalan seperti kerap membasuh tangan atau membawa hand sanitizer, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sangat di utamakan apabila berada di sekolah. Ingatlah kesihatan dan keselamatan juga penting dijaga bagi memberi keselesaan untuk dapatkan ilmu di sekolah.
KESIMPULAN
Amalkanlah 12 S yang di kongsikan ini supaya menjadi pelajar yang hebat dan berjaya. Amalan ini bukan sahaja pada hari pertama bersekolah tetapi boleh dilakukan tiap-tiap hari bersekolah. Boleh kongsikan “Share”, supaya orang lain mendapat manfaat atas tips ini.
.........................
Muiz Mukhtar
(Guru Bimbingan)