Thursday, 8 November 2012

PERKARA PERLU LAKUKAN SEMASA CUTI SEKOLAH



CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah sudah bermula. Sudah pasti perkataan ‘HOREEY’ menjadi perkataan utama para pelajar.  Mungkin ada yang tersenyum lebar dan ada yang terlompat-lompat bahkan ada yang menjerit kegembiraan. Apa yang saya nak gambarkan di sini adalah perkataan ‘CUTI’ sudah menjadi suatu perkara yang dinanti-nantikan kehadirannya oleh semua pelajar. Mengapa? Sudah pasti jawapannya adalah kerana rutin kehidupan seorang pelajar adalah seperti pergi sekolah, balik sekolah, hadiri aktiviti kokurikulum sekolah, buat kerja sekolah, ulangkaji pelajaran sekolah, hadiri kelas tambahan di sekolah dan banyak lagi. Semuanya berkisarkan dari perkataan sekolah sehinggalah minda mereka di ikat dengan berfikir tentang sekolah (belajar). 

Oleh itu, bila hadirnya cuti sekolah maka pemikiran mereka dirungkaikan dari perkataan sekolah (belajar)menjadi perkataan rumah seakan-akan seperti ada kebebasan. Inilah yang saya ingin maksudkan bahawa CUTI bukanlah bermaksud pelajar boleh bebas dari aktiviti pembelajaran, tetapi pelajar perlulah mengisi aktiviti pembelajaran mengikut citarasa tersendiri. Kadang-kadang ada pelajar yang lupa diri sehinggalah menjadikan cuti sebagai medan untuk melepak, berfoya-foya, bermain sepanjang masa, merempit, berfacebook siang malam dan melakukan aktiviti yang tidak ada faedahnya. 

Ingatlah pelajar yang bijak adalah mereka sentiasa merangcang dan mengatur aktiviti cuti persekolahan mereka. Akan tetapi berbeza pula bagi pelajar yang kurang bijak, cuti persekolahan merekalah yang merangcang dan mengatur aktivitinya sehinggalah mereka lalai dan leka.


Sekarang, apa yang perlu pelajar lakukan?

1. Buat perancangan aktiviti anda

a) Sediakan buku latihan 60 muka surat/buku 555/Buku catatan/Nota kecil
b) Setiap helaian muka surat adalah di anggap seperti perancangan aktiviti seharian anda (masukkan tarikh/hari)
c) Sila Isikan setiap hari aktiviti anda pada helaian buku itu dan anda sendiri boleh menilai serta menentukan aktiviti yang mana penting dan tidak penting.
d) Pastikan anda mengulang tindakan mencatat aktiviti anda secara konsisten

2. Buat penilaian dan awasi aktiviti anda

a) Anda boleh melayari internet tetapi jangan biarkan internet melayari jiwa anda.
b) Anda boleh menonton Television tetapi elakkankan ia menjadi VisionTele.
c) Anda boleh bersiar-sia tetapi pastikan ia menjadi pengalaman berharga.
d) Anda boleh bersuka ria bersama rakan-rakan tetapi elakkan diri anda  dari terpengaruh dengan perlakuan tidak sopan.
e) Anda boleh menghabiskan bacaan novel dan komik tetapi jangan lupa pada tanggungjawab sebagai makhluk dan pelajar.
f) Anda boleh bersukan tetapi pastikan anda tidak menjadikan ia sebagai aktiviti utama.

3. Buat dan tunjukkan perlakuan sebagai seorang anak soleh/solehah

a) Perbanyakkan aktiviti menolong dan membantu ibu bapa.
b) Hiburkan hati ibu bapa dengan tidak menyusahkan mereka.
c) Lakukan amalan-amalan seperti seorang hamba Allah.
d) Melawat dan menziarahi saudara mara anda

4. Buatlah dan carilah pengisian yang bermotivasi

a) Pergilah dan mintalah pada ibu bapa untuk dihantar ke kem-kem motivasi sempena cuti sekolah
b) Pergilah ke kelas pengajian Al-Quran dan fardhu ain
c) Bergaullah dengan individu yang mempunyai aura motivasi
d) Jadikan buku sebagai teman suntikan motivasi

5. Buat persiapan untuk menghadapi persekolahan di tahun hadapan

a) Hadiri ke kelas tuisyen
b) Membeli buku-buku rujukan dan latihan sebagai ‘preview’subjek yang akan di ambil tahun hadapan
c) Berjumpalah  dengan senior-senior  sebagai ‘icon’ dan berkongsi pengalaman bersama mereka.


'CUTI SEKOLAH bukanlah bererti anda BEBAS MELAKUKAN APA SAHAJA, tetapi ia sebagai peluang untuk anda REHAT SECARA BERMANFAAT'
(MuizMukhtar 2012)

.....................
Muiz Mukhtar
Guru Bimbingan

No comments:

Post a Comment