Monday, 9 July 2012

DORONGAN NEGATIF MEMBUNUH USAHA ANDA


‘Dorongan’ merupakan perkataan yang sering kita dengari dari awal kita membuka mata sehinggalah kita menutup mata kembali. Sekirannya seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang sukar ataupun mudah, dorongan bersifat positif dan negatif akan terhasil dari mulut-mulut individu yang melihat. Sekiranya dorongan itu bersifat positif sudah pasti individu yang ingin melakukan sesuatu perkara itu akan bersemangat dan bermotivasi. Tetapi lain pula jadinya apabila dorongan bersifat negatif terhasil menyebabkan individu itu akan terus lemah dan mulalah ungkapan ‘give up’ akan hadir di dalam diri. Cuba kita hayati diri kita sendiri, berapa kali dalam sehari kita mendapat ungkapan dorongan dari orang lain? Sekarang berapa banyak  pula kita mendapat ungkapan dorongan yang positif berbanding negatif? Sudah tentu anda ada jawapannya.

     Dalam perkongsian saya hari ini, saya ingin menyatakan sekirannya dorongan negatif sentiasa mengalir dalam kehidupan anda dan mula mencakar potensi diri anda, sudah pasti banyak keburukan yang akan anda terima. Sebenarnya dorongan negatif boleh melemahkan keyakinan dan kepercayaan di dalam diri anda. Sebagaimana contoh sekiranya ada individu yang menyatakan ‘anda ini lemah’, ‘anda ini tak mampu lakukan’, ‘anda ini tak berguna’ dan lain-lain sudah pasti minda anda mula memikirkan yang anda ini ‘memang lemah’. Sekarang saya ingin bawakan satu kisah pendek tentang sekumpulan katak yang membara bagi mengaitkan apa yang saya ingin kongsikan.


     “Pada suatu hari ada sekumpulan katak sedang mengembara mencari tempat untuk dijadikan sebagai penginapan yang baru. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba dua ekor katak terjatuh ke dalam sebuah lubang yang cukup dalam. Dua ekor katak itu tidak dapat melompat naik kerana kaki mereka terseliuh. Oleh sebab tidak ada peralatan untuk membantu, sekumpulan katak yang lain hanya melihat kejadian itu dan mulalah menyatakan, “mungkin kamu akan mati di sini dan kamu tidak akan dapat naik lagi”. Ungkapan negatif itu sentiasa diperkatakan menyebabkan salah seekor katak yang terjatuh itu menangis dan meronta-ronta meminta bantuan. Akan tetapi berbeza pula dengan seekor lagi katak yang terus melompat dan berusaha naik walaupun kesakitan melanda dirinya. Akhirnya usaha si katak itu berjaya naik ke atas dan sekumpulan katak yang lain terkejut kehairanan dengan apa yang berlaku. 

Apabila di tanya tentang bagaimana ia lakukan, si katak itu tidak menjawab bahkan hanya tersenyum dengan  mengungkap perkataan ‘terima kasih kerana memberi sokongan’. Sekumpulan katak yang lain mulalah kehairanan dengan apa yang dinyatakan si katak itu sedangkan mereka banyak memberi dorongan negatif kepadanya. Sebenarnya si katak yang selamat naik itu adalah seekor katak yang pekak dan dia menyangkakan kawan-kawannya yang lain memberi sokongan untuk terus berusaha naik.”

     Dari cerita si katak itu, saya ingin menyatakan dorongan yang negatif sebenarnya akan membunuh usaha seseorang itu untuk berjaya. Akan tetapi sekirannya seseorang itu menjadikan dorongan negatif sebagai muhasabah dan tidak memandang ianya suatu perkara yang melemahkan, sudah pasti dirinya akan menjadi insan yang memiliki Super Estim Diri (SED). Tak semestinya kekuatan diri kita itu lahir dari kemampuan orang lain, tetapi semestinya kemampuan diri yang kita miliki akan memberi kekuatan kepada orang lain. 
   

No comments:

Post a Comment