Suka saya membaca pandangan netizen terhadap dua isu 'GURU' yang tengah menjadi tular sekarang.
1. Guru periksa haid murid perempuan.
2. Guru bergurau lucah pasal rogol lepas umur 18.
Sekiranya ia adalah pandangan membina dan menjadi perbincangan ke arah memurnikan, tidak ada masalah. Tetapi ada juga berlaku salah faham serta bibit negatif sehingga timbul perbalahan pandangan, kecam mengecam, keluarkan kata-kata tidak sepatutnya dan menyalahkan pihak tertentu. Sehingga ada yang menghukum keseluruhan guru sedangkan yang bermasalah hanyalah segelintir sahaja.
Dua isu yang menjadi tular itu sebenarnya sudah lama berlaku di dalam sistem pendidikan di Malaysia. Mungkin dahulunya pelajar tidak banyak bersuara, tidak mahu bersuara bahkan takut untuk bersuara. Kerana corak pemikiran dan situasi dahulunya berbeza dengan zaman generasi kini. Kini ruang bersuara amat terbuka dan pelajar generasi kini lebih cepat belajar, faham serta tahu. Jadi setiap tindakan yang salah atau luar batas itu akan dinilai dan dikongsikan secara bebas.
Saya bukanlah ingin berkongsi pandangan tentang isu berlaku kerana sudah ramai yang telah memberi ulasan ilmiah serta fakta bernas. Tetapi saya ingin menyatakan harapan kepada netizen supaya berhati-hatilah semasa menulis dan jagalah keperibadian di bulan Ramadan ini.
Bulan Ramadan banyak mengajar kita meningkatkan potensi diri. Terdapat TIGA potensi yang sepatutnya kita kawal dan biarlah ia berjaya di dalam tarbiah Ramadan,
1. Quwwat Al-Ghadabiyah (Potensi menjaga amarah dan menjaga emosi).
2. Quwwat Al-Sahwaniyah (Potensi menjaga hawa nafsu dan keinginan).
3. Quwwat Al-Natiqah (Potensi menjaga corak berfikir dan memberi pandangan)
Semoga isu tular yang barlaku ini dapat di selesaikan dengan cara baik dan biarlah ia menjadi iktibar buat semua orang di luar sana.
1. Jangan ambil mudah soal menjatuhkan aib dan malu orang. Ini kerana akan memberi kesan terhadap emosi dan tekanan orang.
2. Jangan ambil mudah tentang masalah haid, bersuci dan isu solat. Ini kerana solat adalah tanggungjawab bagi orang muslim dan perlu di jaga.
3. Jangan ambil mudah tentang masalah bercakap lucah atau bertidak lucah. Ini kerana perkara lucah boleh meruntuhkan akhlak seseorang dan merosakkan sistem pendidikan kita.
.........................
Muiz Mukhtar
(Guru Bimbingan)
No comments:
Post a Comment