LEVEL IKHLAS YANG DIAJAR OLEH SEORANG MANUSIA BIASA TAPI SEMANGATNYA LUAR BIASA.
Ini adalah 10 TANDA besarnya jiwa dan baiknya akhlak Abang Viva (Azwan Omar).
1. HANYA KERETA KECIL
Beliau hanya menaiki Viva sahaja dalam misi menyelamat walaupun kebiasaan orang lebih memilih pacuan 4 roda (4x4) sebagai pilihan semasa misi bantuan sebegini. Bersyukur dengan apa yang ada. Kereta kecil tidak mematahkan semangatnya untuk membantu, menyumbang dan menolong.
2. BEZA NEGERI
Beliau juga sanggup angkut bot dan meletakkannya di atas bumbung kereta yang kecil dari Melaka merentas negeri demi selamatkan 'saudara' yang menghadapi masalah di Selangor. Walaupun berbeza negeri tetapi tetap memiliki jiwa besar dengan adanya sifat satu Malaysia.
Beliau datang bersendiri dan tidak pula secara berkumpulan atau berorganisasi. Walaupun misi sebegini dianggap bahaya dan mempunyai cabaran besar sekiranya bersendiri, dia tetap bertawakkal dan berserah kepada Allah. Dia ada menyatakan, "Di mana-mana Allah boleh tarik nyawa, yang penting saya nak selamatkan nyawa orang".
4. MOHON CUTI TERLEBIH DAHULU
Beliau bekerja sebagai operator mesin dan sanggup memohon cuti kecemasan dari majikannya untuk ke Shah Alam bagi menyelamatkan mangsa banjir. Ini menunjukkan dirinya meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum memulakan operasi. Dirinya memiliki sifat jujur dan menjaga amanah sebagai pekerja.
5. TIDAK MENCERITAKAN DI MEDIA SOSIAL
Beliau tidak memulakan dengan memberi hebahan di media sosial dan tidak pula menceritakan akan misi bantuan ini di dalam media sosial. Tetapi orang lain yang sedar akan kehadirannya telah menceritakan segalanya sehingga dirinya menjadi 'viral' sebagai 'abang viva'. Inilah tanda keikhlasan dirinya dalam misi menyelamat dan membantu.
6. BEKALAN HANYA RM50
Beliau hanya berbekalkan duit sebanyak RM50 dengan membeli minyak untuk bot sebanyak RM20 dan RM30 lagi untuk makanan seperti roti dan air sebagai alas perut. Dengan hanya RM50 inilah, imam di masjid telah selitkan doa kepadanya semasa khutbah jumaat sehingga ramai meng'amin'kannya.
7. MENOLAK TAWARAN DAN SUMBANGAN
Beliau telah menjadi tular dan ramai pula ingin membantunya sehingga ada yang menawarkan kereta baru, menawarkan khidmat percuma bagi membaiki keretanya, menawarkan wang ringgit dan menawarkan kebendaan bagi memudahkan urusan peribadinya. Tetapi apa yang dipilihnya adalah menolak segala tawaran itu dengan cara baik.
8. KATA-KATANYA
Beliau berkata “Saya datang nak tolong dengan ikhlas tak harap apa-apa pun. Saya pun tak minta untuk jadi viral sampai macam ni, orang masuk dalam internet semua. Jadi sumbangan yang saya terima itu saya akan salurkan semula kepada mangsa banjir”.
9. INSPIRASI TAHUN 2021
Beliau kini telah selamat pulang ke Melaka, tetapi kisahnya ini tetap menjadi bualan dan masih tular sehingga penghujung tahun 2021. Dirinya bukanlah orang yang ada pengaruh dan dirinya juga bukanlah individu kayangan. Tetapi jiwa besarnya dan akhlak yang baik telah membuktikan dia adalah wira dan hero kepada rakyat Malaysia.
"NAK TOLONG ORANG TAK PERLU TUNGGU KITA KAYA" - Abg Viva (Azwan Omar)
10. TAULADAN RAKYAT MALAYSIA
Beliau telah menjadi tauladan yang baik kepada kita semua. Ambillah sebagai pengajaran dan bimbingan supaya diri kita juga dapat memiliki sifat terpuji sepertinya. Apa yang penting, letakkan semuanya KERANA ALLAH dan sentiasa berbuat baik KEPADA MANUSIA.
Firman Allah di dalam surah Al-A'raf ayat 29,
"Katakanlah, Tuhanku menyuruh untuk berlaku adil. Dan hadapkanlah wajahmu (kepada Allah) pada setiap solat, dan sembahlah Dia (Allah) dengan mengikhlaskan ibadah semata-mata hanya kepada-Nya. Kamu akan dikembalikan kepada-Nya sebgaiamana kamu diciptakan semula."
KESIMPULAN
Doakan supaya mereka terus ikhlas menjalankan amanah dan tanggungjawab kemanusiaan ini. Moga Allah mempermudahkan segala urusan mereka dan memberi kebaikan juga kepada mangsa-mangsa banjir semua.
Dari saya,
Muiz Mukhtar
(Guru Bimbingan)
No comments:
Post a Comment