‘Dorongan’
merupakan perkataan yang sering kita dengari dari awal kita membuka mata
sehinggalah kita menutup mata kembali. Sekirannya seseorang itu melakukan
sesuatu perkara yang sukar ataupun mudah, dorongan bersifat positif dan negatif
akan terhasil dari mulut-mulut individu yang melihat. Sekiranya dorongan itu
bersifat positif sudah pasti individu yang ingin melakukan sesuatu perkara itu
akan bersemangat dan bermotivasi. Tetapi lain pula jadinya apabila dorongan
bersifat negatif terhasil menyebabkan individu itu akan terus lemah dan mulalah
ungkapan ‘give up’ akan hadir di dalam diri. Cuba kita hayati diri kita
sendiri, berapa kali dalam sehari kita mendapat ungkapan dorongan dari orang
lain? Sekarang berapa banyak pula
kita mendapat ungkapan dorongan yang positif berbanding negatif? Sudah tentu
anda ada jawapannya.
Dalam perkongsian saya hari ini, saya ingin
menyatakan sekirannya dorongan negatif sentiasa mengalir dalam kehidupan anda
dan mula mencakar potensi diri anda, sudah pasti banyak keburukan yang akan
anda terima. Sebenarnya dorongan negatif boleh melemahkan keyakinan dan
kepercayaan di dalam diri anda. Sebagaimana contoh sekiranya ada individu yang
menyatakan ‘anda ini lemah’, ‘anda ini tak mampu lakukan’, ‘anda ini tak
berguna’ dan lain-lain sudah pasti minda anda mula memikirkan yang anda ini
‘memang lemah’. Sekarang saya ingin bawakan satu kisah pendek tentang
sekumpulan katak yang membara bagi mengaitkan apa yang saya ingin kongsikan.
“Pada suatu hari ada sekumpulan katak sedang
mengembara mencari tempat untuk dijadikan sebagai penginapan yang baru. Di
tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba dua ekor katak terjatuh ke dalam sebuah
lubang yang cukup dalam. Dua ekor katak itu tidak dapat melompat naik kerana
kaki mereka terseliuh. Oleh sebab tidak ada peralatan untuk membantu,
sekumpulan katak yang lain hanya melihat kejadian itu dan mulalah menyatakan,
“mungkin kamu akan mati di sini dan kamu tidak akan dapat naik lagi”. Ungkapan
negatif itu sentiasa diperkatakan menyebabkan salah seekor katak yang terjatuh
itu menangis dan meronta-ronta meminta bantuan. Akan tetapi berbeza pula dengan
seekor lagi katak yang terus melompat dan berusaha naik walaupun kesakitan
melanda dirinya. Akhirnya usaha si katak itu berjaya naik ke atas dan
sekumpulan katak yang lain terkejut kehairanan dengan apa yang berlaku.
Apabila
di tanya tentang bagaimana ia lakukan, si katak itu tidak menjawab bahkan hanya
tersenyum dengan mengungkap perkataan ‘terima kasih kerana memberi
sokongan’. Sekumpulan katak yang lain mulalah kehairanan dengan apa yang
dinyatakan si katak itu sedangkan mereka banyak memberi dorongan negatif
kepadanya. Sebenarnya si katak yang selamat naik itu adalah seekor katak yang
pekak dan dia menyangkakan kawan-kawannya yang lain memberi sokongan untuk
terus berusaha naik.”
Dari cerita si katak itu, saya ingin menyatakan
dorongan yang negatif sebenarnya akan membunuh usaha seseorang itu untuk
berjaya. Akan tetapi sekirannya seseorang itu menjadikan dorongan negatif
sebagai muhasabah dan tidak memandang ianya suatu perkara yang melemahkan,
sudah pasti dirinya akan menjadi insan yang memiliki Super Estim Diri (SED).
Tak semestinya kekuatan diri kita itu lahir dari kemampuan orang lain, tetapi
semestinya kemampuan diri yang kita miliki akan memberi kekuatan kepada orang
lain.